UUM Information Technology (UUMIT) membuka lembaran tahun baharu 2025 dengan menganjurkan sesi bersama Yang Berusaha Prof. Dr. Russayani binti Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Utara Malaysia. Pada sesi kali ini, staf UUMIT berpeluang beramah mesra serta mendengar amanat Yang Berusaha Prof. Dr. Russayani Ismail yang telah sudi meluangkan masanya untuk berkongsi maklumat mengenai topik bertajuk "UUMIT: Pemacu Digital Universiti".
Dalam ucapan beliau, banyak perkara telah dikongsikan dan semuanya demi mencapai visi UUMIT untuk menjadi The Best Connected Campus. Oleh itu, UUMIT memainkan peranan utama dalam merealisasikan hasrat universiti menjadi kampus digital yang terhubung sepenuhnya. Bagi mencapai aspirasi ini, UUMIT telah menetapkan empat (4) fungsi utama:
- Infrastruktur Teknologi – Membina penyelesaian IT dan kemudahan bertaraf dunia.
- Sistem Maklumat – Membangunkan aplikasi, sistem dan analitik pintar.
- Perkhidmatan Pelanggan – Menyediakan pengalaman pelanggan yang luar biasa.
- Inovasi IT dan penggunaan teknologi baharu – Mendorong inovasi untuk penggunaan teknologi yang lebih efektif.
Berpandukan slogan We Make IT Better, UUMIT memberi tumpuan kepada usaha untuk menghubungkan setiap individu dalam komuniti UUM secara maya. Konsep Connected Campus yang menjadi matlamat UUMIT bertujuan mewujudkan persekitaran kampus digital yang membolehkan pembelajaran merentasi batas fizikal di mana sahaja, pada bila-bila masa dan melalui sebarang peranti.
Ujar beliau lagi, hasrat ini adalah bertepatan dengan Amanat Menteri Pendidikan Tinggi dalam konteks Fokus 7: Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus yang bertujuan untuk memastikan bahawa institusi pendidikan tinggi di Malaysia terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan keperluan moden.
Pelan Strategik Pendigitalan (PSP UUM 2025-2027) bertujuan untuk mengubah Universiti Utara Malaysia menjadi universiti berasaskan teknologi digital dengan fokus utama pada transformasi infrastruktur digital, penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI) dan data analitik dalam pengajaran, pembelajaran, dan pengurusan, serta pemerkasaan kompetensi digital dalam kalangan warga universiti. Ini melibatkan peningkatan kapasiti infrastruktur IT, penerapan sistem pemantauan prestasi dan dashboard KPI, serta menyediakan latihan digital untuk semua staf dan pelajar.
Dalam pada itu, bagi memastikan keupayaan UUMIT untuk terus memenuhi keperluan universiti yang semakin kompleks, jabatan ini memerlukan struktur organisasi yang mantap dan relevan. Keperluan ini juga didorong oleh hala tuju baharu UUMIT, yang menumpukan kepada transformasi digital, pembangunan kecerdasan buatan dan penyediaan analitik data serta menangani isu kekosongan jawatan kritikal dalam organisasi.
Tambahnya lagi, keseluruhannya, melalui langkah-langkah pembaharuan yang sistematik dan berterusan, UUM dapat memastikan infrastruktur IT yang lebih moden, selamat dan cekap yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, tetapi juga membolehkan universiti kekal relevan dan berdaya saing dalam sektor pendidikan tinggi yang semakin didominasi oleh teknologi. Sebagai institusi yang bergerak pantas menuju masa depan yang berasaskan teknologi, UUM perlu terus berinovasi dan memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi digital untuk memperkasa komuniti akademik dan pentadbiran dalam mencapai kecemerlangan global.
Sesi perkongsian itu juga membuka ruang kepada staf UUMIT bagi mengutarakan beberapa persoalan kepada Yang Berusaha Prof., antaranya mengenai isu pelan penggantian staf, keperluan kenderaan baharu yang lebih selesa dan pelbagai cadangan demi kebajikan staf UUMIT. Perkara tersebut disambut baik oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Russayani Ismail.
Akhir sekali, majlis ditutup dengan acara pemotongan “Pulut Manis UUMIT 2025’ sempena menyambut tahun baharu 2025 yang disempurnakan oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Russayani Ismail sambil disaksikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Shahbani bin Abu Bakar, Pengarah UUMIT, Encik Abdul Razak Ali, Timbalan Pengrah UUMIT dan ketua-ketua unit.
Pautan Gambar: https://photos.app.goo.gl/2ei8m7HkUfMq6n7b7
Tamat.
=========================
Disediakan oleh:
Unit Administration and Finance (AF)
UUM Information Technology