PROGRAM TRANSFORMASI DIRI DAN ORGANISASI STAF UUMIT


UUMIT:
 Semangat kerja berpasukan amat penting dalam sesebuah organisasi bagi merealisasikan segala perancangan yang telah ditetapkan. Justeru itu UUMIT mengambil inisiatif mengadakan Program Transformasi Diri dan Organisasi Staf UUMIT yang bertempat di White Resort Camp, Balik Pulau, Pulau Pinang. Kem ini merupakan bekas sebuah kem latihan PLKN suatu ketika dahulu, dan kini ianya menjadi lokasi pilihan UUMIT untuk staf berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama mengikut atur cara yang telah disusun sejak awal lagi. Objektif program adalah bagi menyemarakkan lagi semangat kerja berpasukan, meningkatkan tahap integriti serta bagi mengenali dengan lebih dekat lagi hati budi masing-masing, bak kata pepatah “tak kenal maka tak cinta”. Begitulah hasrat Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Shahbani bin Abu Bakar, Pengarah UUMIT untuk melihat semua staf UUMIT bekerja dalam sebuah pasukan yang mantap serta berasa seronok dengan persekitaran kerja dan tugas yang diamanahkan bagi menghasilkan kualiti kerja yang optimum dan produktif.

Program telah berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos bermula dengan pergerakan peserta menaiki tiga (3) buah bas dari UUM seawal jam 8:30 pagi menuju ke Balik Pulau, Pulau Pinang melibatkan kira-kira 123 orang peserta. Ada yang berkereta dan berkonvoi motosikal sendiri menuju ke lokasi, menunjukkan komitmen dan semangat tinggi para peserta bagi mengikuti program teambuilding ini. Setibanya di resort, para peserta berpeluang menikmati keindahan panorama resort yang dikelilingi bukit bukau dipenuhi pokok durian dan di tengahnya terdapat sebuah tasik yang luas dan jernih.

Program teambuilding ini dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih berpengalaman iaitu Encik Mohd Haris bin Hairun Paezi, Pengarah Latihan, Mindvision Training & Services yang berpangkalan di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Modul yang disediakan merangkumi transisi diri dan kumpulan kerja untuk mengubah mentaliti kerja, memacu peralihan pasukan kerja dan mencapai prestasi puncak. Penerapan unsur semangat berpasukan, memanfaatkan kepelbagaian, memanfaatkan sumber, memanfaatkan sinergi kekuatan individu, menyokong pertumbuhan, memperkukuhkan akauntabiliti dan bertindak balas secara dinamik kepada persekitaran.

Di sepanjang program, pelbagai aktiviti inbound dan outbound dijalankan sejak hari pertama sehingga tamat program. Peserta mengakui sangat seronok dengan suasana serta melakukan aktiviti bersama dan memberikan komitmen terbaik. Antara aktiviti outdoor yang dijalankan iaitu membina rakit, lake crossing, asas peta & kompas dan sukaneka. Peserta juga sempat melaungkan slogan keramat “merdeka merdeka merdeka” bersama-sama Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Shahbani bin Abu Bakar sempena menyambut bulan kemerdekaan Malaysia yang ke-67.



Di akhir program peserta dapat memahami kepentingan untuk menjadi sebahagian daripada anggota kerja dalam sesebuah pasukan yang sentiasa berusaha meningkatkan kemampuan diri dan pasukan bagi mencapai prestasi puncak seterusnya memacu UUMIT ke arah mencapai matlamat dan objektif masing-masing. Program melabuhkan tirainya kira-kira pada jam 12:00 tengah hari diakhiri dengan laungan slogan “UUMIT rancak!! rancak!! rancak!!” oleh semua peserta dengan penuh bersemangat.

 

“Teamwork Makes The Dream Work”

Tamat.

==============================

Disediakan oleh:
Unit Administration and Finance (AF)
21 Ogos 2024