UUMIT RANGKUL GANGSA DI KONVENSYEN KIK UNIVERSITI AWAM

12 OGOS 2024 / 7 SAFAR 1446H

==========================

Oleh: Nurul Asyiqin Muhamad Zaini
Gambar oleh: Iffah Zarreen Ahmad Subri

UUMIT RANGKUL GANGSA DI KONVENSYEN KIK UNIVERSITI AWAM

UUM ONLINE: Tahniah kepada Kumpulan PLEXUS dari UUMIT berjaya mendapat penarafan gangsa bagi kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan di Konvensyen KIK Peringkat Universiti Awam Kali Ke-17 yang telah berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Kampus Gambang pada 7 hingga 8 Ogos lalu

Plexus mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan membentangkan projek ‘Locate 2.0’.

Ketua kumpulan, Mohd Solehhuddin Ab Mutalib menerangkan bahawa projek ini merupakan usaha sama semua pihak dalam kumpulan KIK PLEXUS dan Unit Network, Security and Operation (NSO) UUMIT untuk menambah baik aplikasi ‘Locate’.

Menurutnya, aplikasi Locate sedia ada dibangunkan untuk mengenal pasti lokasi suis rangkaian dan ia menggunakan teknologi ‘Virtual Tour 360’ yang membenarkan staf mengenal pasti keberadaan lokasi suis rangkaian pada persekitaran sebenar.

Katanya, teknologi ini menyediakan kemudahan untuk melihat lokasi suis rangkaian daripada mana-mana perspektif yang dikehendaki untuk mendapat gambaran awal dan membuat persediaan sebelum ke lokasi tersebut.

“Saya bersyukur PLEXUS berjaya merangkul gangsa dan hasil inovasi kami mendapat pengiktirafan,” katanya.

Pihak Pengurusan Kualiti dan Akreditasi berharap agar banyak lagi inovasi yang akan dihasilkan oleh semua warga UUM bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan universiti.