MAJLIS TITIPAN KASIH, MENGUKUH SILATURRAHIM

 

UUMIT: Bersempena dengan bulan Muharam setiap tahun, umat Islam lazimnya akan menyediakan bubur asyura pada 10 Muharam sebagai memperingati riwayat sirah Islam di Zaman Nabi Nuh AS yang terselamat daripada taufan dan banjir besar dengan menaiki bahtera. Mereka kemudiannya mengumpul pelbagai jenis bijirin yang boleh didapati ketika itu untuk dijadikan bahan makanan bagi menampung orang ramai yang terselamat daripada bencana tersebut. Bagi memberkati bulan Muharam tahun 1446 Hijrah ini, pihak UUMIT juga tidak terkecuali mengambil barakah dalam menyediakan bubur asyura secara gotong-royong bersama staf pada 23 Julai 2024 bersamaan 17 Muharam 1446 Hijrah.

Bagi memeriahkan lagi suasana memasak secara bergotong-royong, Kelab Kebajikan UUMIT turut menganjurkan aktiviti memasak untuk makan tengahari yang mana menu utamanya adalah masakan kambing dan gulai ikan. Selain daripada itu terdapat juga menu pulut durian yang ditaja oleh tuan pengarah UUMIT, Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Shahbani bin Abu Bakar. Kemeriahan dan ukhuwah sesama staf jelas terpancar dalam aktiviti ini yang mana saling mengambil peranan dalam membantu dari awal penyediaan sehinggalah proses mengemas dan menyimpan semula.

Majlis Titipan Kasih ini diserikan lagi dengan meraikan staf UUMIT yang tamat perkhidmatan iaitu En Arunkumar a/l Sivalingam yang telah berkhidmat di UUMIT selama 11 tahun. Seterusnya majlis turut meraikan staf yang bertukar jabatan iaitu Puan Siti Salwa binti Latib yang bertukar ke College of Business (COB) dan juga mengalu-alukan kedatangan Puan Norhazwani binti Azizon ke UUMIT. Pihak UUMIT mengucapkan jutaan terima kasih di atas perkhidmatan yang diberikan sepanjang mereka berkhidmat di sini.

     

Tamat.

=========================

Disediakan oleh:

Siti Mariyam binti Haji Kassim
Unit Web and Multimedia
UUM Information Technology