Knowledge about Blockchain Technology was explained to UUMIT staff by the Former Vice Chancellor of UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad.
ONLINE: Hasrat staf untuk menambah ilmu pengetahuan berkenaan teknologi ‘blockchain’ direalisasikan apabila UUM Information Technology (UUMIT) menjemput Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad pada sesi perkongsian ilmu di Bilik Melbourne, UUMIT, baru-baru ini.
Perkongsian ilmu dengan personaliti bersahaja berkenaan asas ‘blockchain’ oleh beliau telah mendapat sambutan hangat dalam kalangan pegawai teknologi maklumat di UUMIT apabila beliau dihujani dengan pelbagai soalan sehingga akhir sesi.
Alumni University of Strathclyde, United Kingdom itu merupakan pakar dalam bidang IT dan pemegang ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Optical Electronics yang banyak menghasilkan penulisan jurnal akademik, konferens dan prosiding.
Kata R. Badlishah, ‘blockchain’ mula diperkenalkan dalam bentuk Bitcoin oleh Satoshi Nakamoto sekitar tahun 2008.
Menurutnya, dalam sesebuah blok tersimpan segala maklumat berkaitan transaksi data antara dua pihak yang terlibat seperti transaksi wang, undian, lokasi barang kiriman dan data individu yang boleh terdiri dalam bentuk pangkalan data umum (public database).
“Bagi menjamin integriti sesebuah blok, data di dalam blok tersebut perlu disahkan dan dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat.
“Pengesahan dan persetujuan data ini dibuat secara umum melalui tandatangan digital yang tidak boleh dipalsukan,” ujarnya.
Berdasarkan pengalaman beliau yang telah melaksanakan teknologi ‘blockchain’, beliau berpUUMandangan supaya warga UUMIT bekerjasama dengan pembekal teknologi ‘blockchain’ supaya ilmu tersebut dapat dipindahkan kepada warga universiti.
Tambahnya, kaedah perolehan secara langganan teknologi tersebut akan memberi kos yang tinggi pada universiti dalam jangka masa panjang.
Lebih 100 orang pegawai IT di UUMIT telah menyertai sesi tersebut secara atas talian dan begitu teruja untuk menerokai bidang teknologi tersebut untuk meningkatkan kualiti pendigitalan terutamanya dalam bidang keselamatan maklumat.
Sementara itu, Pengarah UUMIT, Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Shahbani Abu Bakar yang berperanan sebagai moderator mencadangkan supaya warga UUMIT mengkaji teknologi ‘blockchain’ dan mewujudkan inovasi dalam bidang keselamatan maklumat untuk mengangkat UUM sebagai ‘Connected Campus’.