5S UUMIT Online : Pada 28 April 2022 yang lalu, satu gotong royong 5S telah diadakan di peringkat UUMIT bersempena persediaan hari-hari terakhir bekerja sebelum menjelang hari raya Aidilfitri. Aktiviti gotong-royong ini adalah yang pertama pada tahun 2022 setelah semua staf kembali bekerja sepenuhnya di pejabat. Oleh kerana sudah sekian lama tidak mengadakan gotong-royong, maka banyak aktiviti 5S yang perlu dilakukan dalam memastikan persekitaran UUMIT kekal bersih, kemas, tersusun dan selamat seperti yang menjadi amalan selama ini. Aktiviti gotong- royong juga turut memberi penekanan kepada pencegahan penularan wabak Covid-19 yang masih lagi berlaku dalam kampus UUM.
Pelaksanaan gotong-royong pada kali ini dilakukan lebih fokus kepada ruang kerja masing-masing tanpa mengabaikan SOP iaitu sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka. Semua staf mengambil peluang untuk membersihkan dan mengemas tempat masing-masing seperti mengelap meja, laci dan almari fail serta menyusun fail, buku dan barangan peribadi secara teratur. Penekanan juga diberikan untuk perabot dan perkakasan komputer yang telah rosak atau tidak digunakan dan dikumpulkan di foyer belakang UUMIT untuk tindakan pihak pentadbiran selanjutnya. Selain itu, pengumpulan bahan-bahan terbuang yang boleh dikitar semula seperti kertas, plastik, kaca, besi dan lain-lain ke dalam tong kitar semula juga turut diberi perhatian dan tindakan.
Setelah selesai melakukan gotong-royong, staf kembali meneruskan tugasan harian dengan lebih selesa dan dalam suasana yang lebih kemas dan tersusun.
TAMAT.
Jom Amal 5S.
Unit Promosi 5S |
UUM Information Technology (UUMIT) | Universiti Utara Malaysia | 06010 UUM Sintok, Kedah | Malaysia |
Email: