Pada 3 September 2020 yang lalu, satu gotong-royong 5S telah sekali lagi berjaya diadakan di peringkat UUMIT. Gotong-royong ini adalah susulan daripada keputusan audit dalaman UUMIT iaitu terdapat beberapa penambahbaikan disenaraikan mengikut zon. Selain penambahbaikan, antara tujuan utama gotong-royong juga adalah menambahbaik pelaksanaan pematuhan terhadap langkah pencegahan penularan covid-19.
Antara pelaksanaan pematuhan tersebut adalah SOP penjarakan fizikal. Label penjarakan fizikal telah ditampal di bilik-bilik mesyuarat, ruang makan, ruang foyer, ruang kaunter, surau serta ruang penempatan staf di Bora-Bora, Hawai, Tapah, Janda Baik, Madagascar dan Tasmania. Penyediaan poster SOP basuh tangan, SOP Covid-19, etika surau mengikut normal baharu serta penempatan hand sanitizer di ruang tumpuan disediakan agar semua staf sentiasa beringat dan patuh akan SOP ini walau di mana sahaja berada. Contoh etika surau mengikut normal baharu yang ditekankan adalah staf diingatkan supaya tidak berkongsi barangan peribadi seperti pakaian solat, sejadah dan barang kosmetik untuk mengelakkan penularan jangkitan.
Disamping persekitaran tempat kerja, Zon Taman iaitu kawasan botani juga turut dibuat pembersihan. Selain memastikan tiada rumput liar, label-label pokok telah diperbaharui. Lebih menariknya gotong royong kali ini diadakan dengan semangat yang lebih tinggi memandangkan temanya adalah merdeka. Penerapan terhadap membebaskan minda daripada membuat kotoran dan tidak ambil peduli tentang ruang kerja dapat dikongsi bersama. Dengan adanya semangat penyatuan ini, staf UUMIT akan sama-sama menjaga kebersihan persekitaran tempat kerja sendiri, peka dengan keadaan tandas, surau, ruang makan, ruang legar dan seterusnya persekitaran jabatan. Sekiranya semua staf mengambil bahagian dalam menjaga kebersihan, akan wujud keseronokan untuk datang kerja dan dapat menyelesaikan tugas dengan lebih teratur.
Dalam sibuk bergotong royong, staf tetap mengutamakan garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Pusat Kesihatan UUM (PKU) seperti mematuhi penjarakkan fizikal, memakai pelitup mulut dan hidung serta mencuci tangan dengan langkah yang betul sepanjang melakukan aktiviti ini.
Aktiviti gotong-royong ini tamat sekitar jam 11.00 pagi. Dengan pelaksanaan normal baharu ini, diharapkan semua dapat memberikan kerjasama dalam membendung penularan Covid-19.
Jom Amal 5S.