Pada 13 Ogos 2020 yang lalu, telah diadakan satu gotong-royong 5S UUMIT yang disertai oleh semua warga UUMIT. Gotong-royong ini merupakan aktiviti gotong-royong pertama 5S dalam tahun 2020 selepas hampir tiga bulan pejabat ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajan untuk membendung wabak Covid-19 di Malaysia.
Tujuan utama gotong-royong ini diadakan adalah sebagai langkah permulaan pembersihan kawasan persekitaran UUMIT, ruang pejabat dan kerja serta peralatan kerja. Di samping memastikan persekitaran ruang kerja bersih dan selamat, Taman Botani juga turut diberi perhatian. Aktiviti gotong-royong ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial bagi membantu warga UUMIT menghadapi rutin kerja harian supaya dapat bekerja dalam suasana bersih, kemas, ceria dan selamat.
Sebelum aktiviti gotong-royong bermula, setiap staf diingatkan tentang garis panduan keselamatan dalam menghadapi virus pandemik ini seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Pusat Kesihatan UUM (PKU) seperti mematuhi penjarakkan fizikal, memakai pelitup mulut dan hidung serta mencuci tangan dengan langkah yang betul sepanjang melakukan aktiviti ini.
Aktiviti gotong-royong ini tamat sekitar jam 11.00 pagi. Semoga dengan inisiatif yang diambil dapat menjadikan persekitaran pejabat khususnya lebih kondusif dan ceria, sekaligus dapat meningkatkan lagi produktiviti seluruh tenaga kerja di UUMIT. Jom Amal 5S.