Bahang Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti 5S/QE Peringkat Universiti semakin terasa apabila audit kali kedua ke atas UUMIT dijangka akan dibuat pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, persiapan yang lebih rapi harus dilakukan agar audit ini memberikan impak yang terbaik kepada UUMIT. Pada 5 Disember yang lalu, satu gotong royong 5S telah diadakan melibatkan kesemua staf bagi mempersiapkan kesemua zon yang berada di bawah tanggungjawab masing-masing agar lebih kemas dan bersiap sedia untuk diaudit.
Gotong royong kali ini menyaksikan kesemua zon memperkemaskan lagi kawasan masing-masing dengan aktiviti asas 5S iaitu menyisih, menyusun, menyapu, menyeragam dan sentiasa amal. Aktiviti mengecat turut dilakukan pada dinding sepanjang laluan atas dan bawah bagi menaikkan seri kawasan sekitar. Disamping itu, di bilik Hawai yang berada dalam zon Loteng, operasi memperkemaskan ikatan kabel elektrik dan network dilakukan bagi mempertingkatkan keselamatan dan kekemasan di setiap partition staf. Bagi zon yang lain, semua staf sibuk mengemas kawasan dengan aktiviti seperti menyapu sawang, mengelap tingkap, menyusun pasu bunga, mengelaskan bahan buangan ke dalam tong kitar semula, menyusun fail dan memastikan label-label dilekatkan pada tempat yang betul. Tidak ketinggalan juga papan kenyataan mengikut zon dikemaskini dengan informasi terkini seperti carta organisasi dan berita semasa. Pokok-pokok herba di Taman Botani juga turut dilabel dengan nama pokok untuk memudahkan kepada pengenalan pokok.
Sesi gotong royong berakhir pada pukul 11 pagi dan semua staf berpuas hati dan gembira dengan hasil aktiviti gotong-royong yang mewujudkan suasana persekitaran tempat kerja yang lebih kemas. Ia juga meningkatkan ‘mood’ staf menjadi lebih teruja untuk bekerja dalam suasana yang lebih selesa dan bersih.
Jom amal 5S.